Apabila berbicara tentang keris. Ia bukanlah sekadar proses melebur dan membentuk sebilah senjata. Ia adalah proses yang menggabungkan kemahiran pertukangan, seni dan pengharapan kepada yang maha Esa.
Penulisan ini cuba untuk memahami dan menyelami makna disebalik setiap bahan yang digunakan dalam penghasilan sebilah keris.
Didalam dunia perkerisan Melayu, sebilah keris itu bukan sekadar hasil tempaan besi dan api. Ia adalah sebuah mikrokosmos yang menyatukan unsur alam dengan harapan manusia.
Salah satu rahsia yang paling dalam yang tersimpan dalam lipatan besi keris adalah penggunaan besi 7 Pa. Iaini 7 jenis besi yang bermula dengan Pa.
Persoalannya. Mengapa perlu memilih tujuh jenis besi? Mengapa tidak menggunakan seketul besi padu yang moden dan bersih?
Jawapannya terletak pada satu prinsip purba. Kita percaya bahawa pada setiap jasad mempunyai ruh ataupun sifat yang memberikan kesan-kesan atau kebaikan-kebaikan tertentu.
Apabila 7 jenis besi ini disatukan, ia akan memanifestasikan satu doa, harapan atau tujuan keris itu dihasilkan.
Lalu apakah besi 7 Pa itu?
Ia adalah Pagar, Paku, Payung, Parang, Padu, Pahat dan Palu.
Nenek moyang kita memahami bahawa untuk menghasilkan senjata yang mampu melindungi diri dan maruah, bahan-bahannya harus datang daripada sumber yang sudahpun "berkhidmat" dan mempunyai rekod sifat yang unggul.
1. Besi Pagar & Payung: Tujuan Perlindungan
Secara teknikalnya, Pagar berfungsi sebagai benteng yang memisahkan antara ruang selamat dan ancaman luar.
Manakala payung adalah simbol naungan dan perlindungan daripada panas dan hujan.
Dengan memasukkan unsur ini, si pembuat keris sebenarnya memanjatkan doa agar pemilik keris sentiasa berada dalam benteng perlindungan Ilahi dan sentiasa beroleh naungan dalam setiap urusan hidupnya.
2. Besi Paku & Padu: Pasak Kestabilan
Paku adalah alat yang digunakan untuk menyatukan dan menetapkan sesuatu kedudukan.
Dalam falsafah perkerisan, unsur Paku dimasukkan supaya jiwa pemiliknya teguh dan tidak goyah ditiup angin fitnah atau ujian.
Besi Padu pula menjamin kekuatan fizikal. Ia adalah simbol kepada keutuhan peribadi yang tidak mudah retak seribu apabila berhadapan dengan tekanan hidup.
3. Besi Parang, Pahat dan Palu: Manifestasi Kedaulatan dan Amal.
Ketiga-tiga besi ini mewakili aspek dinamik seorang manusia:
Parang: Mewakili ketajaman akal untuk membedah masalah.
Pahat: Mewakili ketelitian dan kesabaran dalam membentuk jati diri.
Palu: Mewakili pengaruh dan wibawa. Kata-kata yang "berat" dan memberi impak kepada masyarakat.
Apabila ketujuh-tujuh unsur ini dileburkan dalam api yang membara, identiti asal besi tersebut akan lenyap secara fizikal. Namun "rahsia" dan "hikmat" sifat asalnya tetap kekal tersimpul dalam atom-atom bilah yang baru.
Besi 7 Pa adalah manifestasi bahawa bangsa Melayu tidak pernah memisahkan antara sains dan Tuhan.
Setiap bilah yang terhasil adalah rakaman visual kepada sebuah harapan yang dizahirkan melalui keringat Empu atau Pandai Besi serta doa yang tidak pernah putus.
Ia adalah senjata yang dipakai bukan untuk menzalimi, tetapi untuk mengingatkan pemiliknya tentang pelbagai dimensi tanggungjawab yang perlu dipikul.