Buku ini tentang catatan diari kisah kehidupan seorang gadis yang bernama Anne Frank, keluarganya dan beberapa sahabat semasa dalam persembunyian mereka dari kekejaman ketika Nazi memimpin Jerman.
Selama 25 bulan mereka bersembunyi akhirnya terbongkar apabila seseorang telah mengkhianati mereka hanya kerena upah sebanyak $1.40 bagi setiap orang yang ditangkap.
Kesemua mereka tewas kecuali bapa Anne Frank yang dapat melarikan diri dari penjara. Bapanya ini kemudian mengumpulkan tulisan diari Anne Frank untuk dijadikan buku ini.
Demi ilmu, saya meletakkan diri saya sebagai neutral semasa membaca buku ini.
'Lewat petang tadi, ketika Elli Masih berada di sini, ada bunyi loceng yang panjang, kuat dan pintu bergegar. Aku terus pucat, sakit perut dan berdebar-debar kerana takut. Pada waktu malam, ketika di tempat tidur, aku rasa seperti keseorangan di dalam penjara bawah tanah, tanpa Papa dan Mama. Kadang-kadang aku rasa seperti merayau-rayau di tepi jalan, atau "Ruang Rahsia" kami sedang terbakar, atau mereka datang pada waktu malam dan membawa kami pergi. Semuanya seperti realiti dan aku rasa mungkin berlaku tak lama lagi! Miep selalu kata yang dia cemburu dengan kami kerana hidup tenang di sini. Itu mungkin benar, tapi dia tak fikir tentang semua ketakutan kami. Tak mungkin dunia kami akan kembali normal. Aku ada bercakap tentang hidup "selepas perang," tapi itu hanya dongeng, sesuatu yang tak berlaku. Bila terfikirkan rumah lama kami, terasa seperti kawan-kawan perempuanku, keseronokan di sekolah, sebenarnya dijalani oleh orang lain, bukannya aku.'